Perutusan Pengarah Urusan Semperna Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1435H/2014

IKU” Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin ”

Warga Isma Karisma yang dikasihi,

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana dengan berkat nikmat yang dilimpahkan-Nya, sekali lagi kita dapat merayakan Hari Raya ‘Aidilfitri pada 1 Syawal 1435H yang bakal tiba beberapa hari lagi. Daripada bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan, insya’Allah, kita akan menganjak kepada bulan Syawal pula yang merupakan simbol kemenangan bagi umat Islam.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua kakitangan Isma Karisma atas pengorbanan, komitmen, dan kerjasama yang padu demi memastikan kejayaan program-program Isma Karisma sepanjang Ramadhan tahun ini.

Warga Isma Karisma yang dihormati,

Bersyukur kita kerana dilimpahkan rezeki daripada Allah S.W.T untuk memeriahkan lagi sambutan ’Aidilfitri kita. Akan tetapi, kesederhanaan haruslah diterapkan dalam diri terutamanya dalam persiapan perayaan kita. Lebih-lebih lagi dengan keadaan saudara-saudara kita di bumi Palestine yang sedang diduga dan diuji dengan dahsyatnya. Kesederhanaan dalam semua aspek yang dipraktikkan dalam bulan Ramadhan harus kita kekalkan.

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau- lampau.”

(Al-Isra: 26)

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa nahas kapal terbang MH17 baru-baru ini. Sesungguhnya tragedi ini meninggalkan kesan yang mendalam di hati seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita bersama sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa Muslimin dan Muslimat nahas kapal terbang tersebut. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka.

Warga Isma Karisma yang dikasihi,

Saya dan barisan pengurusan Isma Karisma ingin mengucapkan selamat pulang ke kampung kepada seluruh warga kerja. Utamakan keselamatan dan pandulah dengan cermat. Raikan ‘Aidilfitri dengan ria bersama-sama keluarga dan sahabat handai sambil mengeratkan silaturrahim dan ukhuwwah sesama kita.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf sekiranya dalam proses kita menjalankan tugas dan amanah bagi memajukan Isma Karisma, terdapat kata-kata mahupun perlakuan yang telah mengguris hati dan perasaan. Saya turut berdoa agar kita akan terus dilindungi dan dirahmati Allah S.W.T. sepanjang masa, dan insya’Allah, bersama, kita meningkatkan lagi prestasi Bank ini.

Kepada saudara-saudari kaum Muslimin dan Muslimat, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua sentiasa mendapat hidayah-Nya. Kepada saudara-saudari yang bukan Islam, selamat beristirehat dan bersamalah bergembira menziarahi sahabat handai anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *