Perutusan Pengarah Urusan Semperna Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1435H/2014

IKU” Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin ”

Warga Isma Karisma yang dikasihi,

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah S.W.T. kerana dengan berkat nikmat yang dilimpahkan-Nya, sekali lagi kita dapat merayakan Hari Raya ‘Aidilfitri pada 1 Syawal 1435H yang bakal tiba beberapa hari lagi. Daripada bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan, insya’Allah, kita akan menganjak kepada bulan Syawal pula yang merupakan simbol kemenangan bagi umat Islam.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua kakitangan Isma Karisma atas pengorbanan, komitmen, dan kerjasama yang padu demi memastikan kejayaan program-program Isma Karisma sepanjang Ramadhan tahun ini.

Warga Isma Karisma yang dihormati,

Bersyukur kita kerana dilimpahkan rezeki daripada Allah S.W.T untuk memeriahkan lagi sambutan ’Aidilfitri kita. Akan tetapi, kesederhanaan haruslah diterapkan dalam diri terutamanya dalam persiapan perayaan kita. Lebih-lebih lagi dengan keadaan saudara-saudara kita di bumi Palestine yang sedang diduga dan diuji dengan dahsyatnya. Kesederhanaan dalam semua aspek yang dipraktikkan dalam bulan Ramadhan harus kita kekalkan.

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau- lampau.”

(Al-Isra: 26)

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa nahas kapal terbang MH17 baru-baru ini. Sesungguhnya tragedi ini meninggalkan kesan yang mendalam di hati seluruh rakyat Malaysia. Marilah kita bersama sedekahkan Al-Fatihah kepada mangsa Muslimin dan Muslimat nahas kapal terbang tersebut. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka.

Warga Isma Karisma yang dikasihi,

Saya dan barisan pengurusan Isma Karisma ingin mengucapkan selamat pulang ke kampung kepada seluruh warga kerja. Utamakan keselamatan dan pandulah dengan cermat. Raikan ‘Aidilfitri dengan ria bersama-sama keluarga dan sahabat handai sambil mengeratkan silaturrahim dan ukhuwwah sesama kita.

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf sekiranya dalam proses kita menjalankan tugas dan amanah bagi memajukan Isma Karisma, terdapat kata-kata mahupun perlakuan yang telah mengguris hati dan perasaan. Saya turut berdoa agar kita akan terus dilindungi dan dirahmati Allah S.W.T. sepanjang masa, dan insya’Allah, bersama, kita meningkatkan lagi prestasi Bank ini.

Kepada saudara-saudari kaum Muslimin dan Muslimat, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan semoga kita semua sentiasa mendapat hidayah-Nya. Kepada saudara-saudari yang bukan Islam, selamat beristirehat dan bersamalah bergembira menziarahi sahabat handai anda.

Utusan Pengarah Urusan ” Selamat Menyambut HARI PEKERJA 2014 “

Pengarah Urusan

Assalamualaikumusalam…

Warga kerja Isma Karisma yang dikasihi,

“Pekerja Berinovasi Pemacu Transformasi”, tema Hari Pekerja 2014 amat bertepatan dengan budaya kerja kini, yang juga telah membawa kepada kecemerlangannya. Alhamdulillah, kita diberi kesempatan lagi untuk menyambut Hari Pekerja pada tahun ini.

Sebelum saya meneruskan utusan ini, izinkan saya menyampaikan ucapan terima kasih di atas komitmen semua, bakat serta kemahiran, kerja keras dan khidmat cemerlang anda terhadap Isma Karisma khususnya, dan industri pembinaan secara amnya.

Saya turut memanjangkan syukur ke hadrat Ilahi atas pemberian rezeki kepada Isma Karisma dengan catatan keuntungan positif bagi Tahun Kewangan 2013. Sekali lagi jutaan terima kasih kepada semua warga kerja yang telah berjaya merealisasikan sasaran Isma Karisma dari segi perniagaan dan tanggungjawab korporatnya.

Usaha ini adalah bagi memanifestasikan budaya kerja cemerlang yang menitikberatkan nilai-nilai yang baik ke arah tingkah laku dan pelaksanaan kerja yang berkesan pada setiap peringkat perkhidmatan, tanpa mengambil kira sama ada dilakukan bagi mencapai sesuatu matlamat ataupun dalam melaksanakan rutin perkhidmatan seharian. Keberkesanan sesuatu kerja yang menghasilkan kecemerlangan itu boleh dinilai antaranya dari segi kos, masa, keselesaan dan kepuasan pelanggan.

Setiap pekerja perlu juga menjaga dan meningkatkan prestasi dirinya dalam menjalankan amanah pekerjaannya yang disusuli dengan kenaikan kualiti kerja. Industri pembinaan secara umum telah menjadi lebih canggih dan berada dalam pencarian berterusan yang inovatif dan cekap. Dengan pasaran yang semakin kompetitif, faktor pembeza utama di sini ialah kecemerlangan khidmat pelanggan.

Ingatlah bahawa bukan kerana kurangnya kemampuan yang melemahkan kehidupan, tetapi tidak cukupnya kesungguhan untuk menggunakan kemampuan yang ada.

Sabda Rasulullah S.A.W., yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah S.W.T menyukai seorang hamba yang apabila dia melakukan kerja, dia melaksanakannya dengan itqan (memperelok) kerjanya.”
(Riwayat al-Baihaqi)

Selamat menyambut Hari Pekerja kepada semua warga kerja Isma Karisma.

Mohammad Ismawee Ismail
Pengarah Urusan
Isma Karisma Ultimate Sdn Bhd

Main Signboard Installation

Signboard Signboard 2

Alhamdulilah syukur pada Allah swt atas IzinNya perniagaan ini masih utuh sehingga hari ini… Terima kasih kepada semua para sahabat dan Warga Persatuan Kontraktor Bumiputra Kedah memberi sokongan padu dan kepercayaan dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan. Semoga Allah swt melimpahkan lagi rezeki kita semua dan diberkati selalu.. Amin..

Punca Rezeki

Salam mahabbah buat semua..

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “9/10 rezeki itu adalah datang daripada perniagaan.

Pernah atau tidak kita bercita-cita untuk menjadi ahli perniagaan?? Tak pernah terlintas kut di benak fikiran kita.. Kalau zaman sekolah dulu,nak dengar kawan-kawan kita kata nak jadi ‘businessman’ bila disoal tentang cita-cita oleh guru,mesti susah kan.. Namun, sering terjadi timbul masalah juga berjual beli dengan orang Islam. Antaranya isu kebersihan, layanan yang kurang sopan terhadap pelanggan, penipuan sukatan dan timbangan, serta kekurangan stok terhadap produk yang dikehendaki oleh pelanggan. Hal beginilah membuatkan sesetengah golongan mencebik ketika diminta memberikan sokongan terhadap usahawan Islam. Hal ini juga memberikan imej yang buruk terhadap agama Islam. Rasulullah S.A.W telah memberikan contoh yang baik sebagai ahli perniagaan berjaya. Mengapa tidak kita mencontohinya??

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah melalui setimbunan makanan (yang dijual) seraya memasukkan tangannya ke dalam timbunan makanan tersebut dan mendapati jari-jemarinya basah. Rasulullah SAW bersabda, apakah semua ini wahai pemilik makanan? Lelaki itu menjawab; makanan ini telah ditimpa hujan wahai Rasulullah SAW. Seraya Rasulullah bersabda: kenapa tidak kamu jadikan yang basah itu disebelah atas makanan agar manusia dapat melihatnya, barang siapa yang menipu maka ia bukan dari agamaku (yang sempurna).

Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian di dalam surah al-Mutaffifin 1-3, mafhumnya: Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.